Menu

Wednesday, September 4, 2013

Petrol RON92 Diperkenalkan Semula???


Kuala Lumpur: Kerajaan mempertimbangkan penggunaan semula petrol RON92 yang ditarik daripada pasaran pada 1 September 2009 untuk memberi pilihan kepada pengguna membeli petrol pada harga lebih murah.

Menteri Perdagangan Dalam Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata kajian sedang dijalankan dan akan diputuskan tidak lama lagi.
“Kita menerima cadangan pelbagai pihak termasuk mengkaji semula penggunaan petrol RON92,” katanya selepas majlis penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini semalam.

Hasan diminta mengulas kemungkinan kerajaan memperkenalkan semula RON92 untuk memberi pilihan kepada pengguna berikutan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, mulai tengah malam semalam.

Petroleum berkualiti

RON92 ditarik daripada pasaran pada 2009 dan digantikan dengan petrol RON95, berikutan penggunaan petrol berkenaan adalah kecil, iaitu lima peratus saja jumlah keseluruhan penjualan petrol negara.

Pengenalan RON95 bertujuan memastikan pengguna mendapat faedah langsung produk petroleum yang lebih berkualiti pada harga subsidi oleh kerajaan.
Sementara itu, Seramai 1,845 penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau harga sudah digerakkan di seluruh negara untuk memantau kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel berkuat kuasa tengah malam, kelmarin.

Hasan berkata, kementeriannya serius menguatkuasakan akta itu untuk mengekang kenaikan harga barang dengan memastikan setiap aduan yang disusuli bukti sahih, disiasat.

“Setiap aduan yang mempunyai bukti mengenai peniaga menaikkan harga barang akan disiasat dan tiada yang dibuang dalam tong sampah.

“Bukan saja barangan kawalan harga, malah jika ada peniaga menaikkan harga roti canai pun kita ambil perhatian dan tindakan,” katanya.

Terdahulu, Hasan berkata, harta intelek adalah pemboleh ekonomi yang amat penting bagi merealisasikan hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

sumber: BHOnline
www.tips-fb.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...